Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Program penempatan penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN-Habitat menafikan laporan media tempatan bahawa mereka bersetuju untuk membantu membina kediaman bagi penduduk yang lari daripada kekejaman tentera di Rakhine.
Kenyataan itu meningkatkan lagi ketegangan antara Myanmar dan PBB, yang sebelum ini mengkritik rancangan awal Naypyitaw untuk menempatkan etnik Rohingya di kawasan perkampungan 'ala kem'.
Lebih 600,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi ke sempadan Bangladesh sejak 25 Ogos lalu, susulan serangan tentera Myanmar ke atas kawasan penempatan mereka di Rakhine.
Akhbar Global New Light semalam, melaporkan bahawa UN-Habitat bersetuju untuk menyediakan bantuan teknikal bagi menyediakan kediaman untuk penduduk di Rakhine.
Pada masa sama, akhbar itu juga berkata, agensi berkenaan juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melaksanakan projek yang memenuhi keperluan sosial, budaya dan pentadbiran Myanmar.
Sementara itu, jurucakap pejabat penyelaras PBB di Myanmar, Stanislav Saling ketika memberitahu Reuters menerusi e-mel, berkata setakat ini, tiada persetujuan dicapai selepas wakil agensi itu mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak berkuasa Myanmar di Naypyitaw, minggu ini. - Reuters
26 Oktober 2017 - 18:06
News ID: 862746
Program penempatan penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN-Habitat menafikan laporan media tempatan bahawa mereka bersetuju untuk membantu membina kediaman bagi penduduk yang lari daripada kekejaman tentera di Rakhine.